Resolusi Seri Gaya 14 Mac

Resolusi Seri Gaya merupakan satu ketetapan untuk menubuhkan Parti Demokratik Sabah (PDS) yang ditandatangani oleh hampir semua wakil rakyat Parti Bersatu Sabah (PBS) pada malam 14 Mac 1994 di Seri Gaya. Seri Gaya ialah tempat kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, iaitu tempat kediaman Datuk Joseph Pairin Kitingan ketika itu. Ketetapan itu telah dibuat selepas pucuk pimpinan Barisan Nasional mengatakan bahawa mereka tidak lagi akan menerima PBS sebagai parti komponen Barisan Nasional tanpa mengira sama ada Datuk Joseph Pairin masih memimpin parti itu atau tidak. Penolakan ini diakibatkan oleh peninggalan PBS secara tiba-tiba daripada Barisan Nasional lima hari sebelum pembuangan undi semasa pilihan raya umum pada tahun 1990. Oleh itu, Wakil-wakil Rakyat PBS telah membuat ketetapan untuk menubuhkan sebuah wadah kesinambungan untuk perjuangan politik kaum Kadazandusun Murut.